apa.jpg (9602 bytes)

           Komputer ialah alat atau mesin otomatik yang boleh menerima arahan, memproses arahan tersebut, menyimpan semua maklumat   untuk kegunaan kemudian dan seterusnya mengeluarkan satu keputusan untuk tatapan kita.  Segala maklumat yang diterima oleh komputer dipanggil input dan maklumat atau keputusan yang dihasilkan dikenali sebagai output.  Komputer mempunyai ingatan supaya boleh menyimpan maklumat dan memanggilnya kembali bila-bila masa apabila diperlukan.  Konsep organisasi komputer ini boleh dirumuskan seperti berikut:


apa1.jpg (12201 bytes)

       Arahan ialah maklumat yang memberitahu komputer tugas-tugas yang perlu dilakukannya.  Kita memberi arahan dengan cara menulis aturcara.  Untuk menyokong aturcara, kita sertakan data yang cukup.  Data ialah unit terkecil maklumat atau bahan yang mencapai maksudnya sendiri.

KONSEP ORGANISASI KOMPUTER

       Komputer berfungsi sebagai satu sistem.  Ia mengandungi beberapa komponen untuk menerima tugas yang diagihkan.  Ini bermakna setiap komponen dalam atau luar tahu peranan masing-masing dan mengerjakan hanya apa yang disuruh.
      
       Tugas utama komputer ialah menyelesai sesuatu masalah yang logik kepadanya.  Komputer mewujudkan satu sistem untuk menghadapi setiap masalah yang diberi supaya ia dapat diselesaikan dengan jayanya.  Sistem ini berasaskan organisasi komputer, input, pemperosesan, ingatan, dan output.  Sema tugas diagihkan kepada unit-unit tertentu.  Setiap unit faham dengan peranan masing-masing dan sentiasa berdedikasi untuk melaksanakan tugas yang diberi.

       Input ialah cara komputer mengendali penerimaan maklumat.  Terdapat dua jenis maklumat iaitu arahan dan data.  Arahan memberitahu komputer perkara yang perlu dilakukan terhadap satu kumpulan data.  Cara input yang paling biasa ialah dengan menaip kunci pada papan kunci komputer.  Kita juga boleh menggunakan joystick, paddle, mouse, kad tebuk, telefon dan pen cahaya dengan menyentuh pada skrin monitor komputer.

Pemprosesan merupakan tugas utama bagi sesebuah komputer, meliputi pengawalan semua operasi komputer, pengiraan, perbandingan logik dan kekerapan merujuk untuk mencapai maksud arahan.  Unit Pemprosesan Pusat (center processing unit, CPU) bertanggungjawab terhadap mengawal keseluruhan tugas pelaksanaan oleh setiap komponen komputer.  CPU mengandungi dua komponen utama iaitu unit kawalan dan unit aritmetik/logik.

Komputer menpunyai ingatan supaya boleh mengingati kembali segala tugas yang telah dilakukan.  Alat untuk menyimpan ingatan dipanggil storan.  Ingatan pada komputer disimpan melalui dua cara, iaitu dalam dan luar komputer.  Ingatan dalam ialah ingatan utama atau storan dalam.  Sementara ingatan luar disimpan sebagai storan skunder kerana ia melibatkan alat periferial luar.  Kedua-dua storan ini membolehkan kita menyimpan ingatan sama ada kekal atau sementara.

Dua jenis ingatan utama pada mikrokomputer iaitu RAM (Random Access Memory) dan ROM (Read Only Memory).  Ingatan utama adalah lebih mahal kosnya berbanding storan skunder.  Contoh storan skunder yang sering digunakan seperti cakera liut, cakera padat, pita magnetik dan kaset.

Output merupakan cara komputer memberitahu keputusan pemprosesan untuk tindakan selanjutnya.  Contoh-contoh alat output seperti moniter, alat paparan video, pencetak, pemplot, telefon dan pembesar suara.